Jumaat, 19 Ogos 2011

malam lailatul Qadar

““Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Para sahabat nabi risau kerana tidak dapat berjihad dan beribadat seperti umat terdahulu, misalnya Bani Israel yang berjihad selama 80 tahun. Lalu Allah menurunkan surah Al-Qadr untuk menenangkan para sahabat nabi yang risau itu dan pahala beribadat pada malam itu lebih baik dari 1000 bulan iaitu sekitar 84 tahun.
Al-Qadr [3] Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
Al-Qadr [4] Pada Malam itu, turun malaikat dan Ruh (Jibril) dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
Malam itu tidak panas dan tidak sejuk dan pada paginya matahari naik tidak banyak cahayanya kerana banyak malaikat turun naik pada malam itu:
Dan dari Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhu, ia berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:“Malam al-Qadar adalah malam yang indah penuh kelembutan, cerah, tidak panas dan tidak juga dingin. Manakala pada keesokan harinya sinar mataharinya kelihatan melemah kemerah-merahan.” (Hadis Riwayat ath-Thayalisi (394), Ibnu Khuzaimah (3/231), al-Bazzar (1/486) dan sanadnya hasan)
“Pagi hari (setelah) Lailatul Qadar, matahari terbit tidak menyilaukan (tanpa sinar), seakan-akan ia bejana sehinggalah ia meninggi.” (Hadis riwayat Muslim (762))
Setengah ulama mengatakan “Ruh” yang turun pada malam itu ialah Jibril berdasarkan ayat yang menyebut “RohulQudus” ialah malaikat Jibril.
Baqarah [87]….dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Mariam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Rohulqudus (Jibril).
Antara kelebihan Lailatul Qadar ialah malaikat yang berada di Sidratul Muntaha turun ke bumi dengan izin Allah pada malam itu.Sidratul bererti pokok bidara manakala Muntaha ialah sempadan iaitu sempadan sebelah atas langit, selepas langit yang ke tujuh. Semasa peristiwa Isra’ Mikraj, malaikat Jibril hanya boleh menghantar Rasulullah s.a.w. hingga setakat pokok bidara ini sahaja.
An-Najm [13] Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, [14] Di sisi “Sidratul-Muntaha”; [15] Yang di sisinya terletak Syurga “Jannatul-Makwa”.
Manakala setengah ulama lagi mengatakan ia adalah satu malaikat yang kakinya berada di bawah lapisan ke tujuh bumi dan kepalanya di Arasy, mempunyai 1,000 muka, dan setiap muka mempunyai 1,000 mulut, setiap mulut bertasbih (mengucapkan Subhanaalah) dalam bahasa yang berlainan. Apabila ia bertasbih, semua malaikat lain sujud kerana takutkan Allah. Dikatakan malaikat yang turun akan merayau-rayau seluruh dunia dan masuk ke rumah orang Islam serta memberi salam kecuali kepada 3 golongan:

  • Orang Islam yang makan babi

  • Orang Islam yang derhaka kepada ibubapa

  • Orang Islam yang memutuskan silaturrahim

  • Pada malam itu malaikat turun bersama 4 panji-panji iaitu 4 bendera yang diletakkan di 4 tempat iaitu:
    • Satu bendera diletakkan di atas Maqam nabi.
    • Satu bendera diletakkan di Baitul Maqdis
    • Satu bendera diletakkan di Baitullah
    • Satu bendera diletakkan di Bukit Thur
    Bilakah waktunya?
    Pada mulanya Rasulullah s.a.w. telah mendapat tahu tentang bilakah malam Lailatulqadar, namun belum sempat Baginda hendak memberitahu sahabat, Baginda terlupa kerana melihat dua orang sahabat sedang bertengkar.

    “Aku keluar untuk mengkhabarkan kepada kamu berkenaan Lailatul Qadar, tetapi ada dua orang sedang berselisih sehingga pengetahuan berkenaannya tidak diberikan. Mudah-mudahan ini lebih baik bagi kamu, carilah di malam 29, 27, 25 (dan dalam riwayat lain, pada malam ke tujuh, sembilan dan lima).” (Hadis Riwayat al-Bukhari (4/232))
    Nabi s.a.w. menyuruh umatnya mencari Lailatulqadar pada 10 malam terakhir, terutamanya malam-malam ganjil. Allah suka pada yang ganjil (witir). Allah suka pada sembahyang yang ganjil bilangannya seperti sembahyang witir.
    Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud: Carilah Malam Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir. Dalam hadis yang lain yang telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: Carilah Malam Lailatul Qadar pada malam ganjil 10 hari yang terakhir.


    carilah malam lailatul Qadar..
     

    Tiada ulasan:

    pegodeh

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...